Mayat salah seorang remaja ditemui
Bernama
Disember 31, 2012 18:08 MYT
Disember 31, 2012 18:08 MYT
Polis Isnin menemui mayat salah seorang daripada dua remaja yang dilaporkan hilang dibawa arus ketika mandi di pantai Air Papan dekat Mersing pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Mersing DSP Md Nor Rashid berkata mayat Muhamad Azhari Suranto, 17, ditemui terapung oleh pasukan keselamatan di kawasan Teluk Buih, kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
"Mayat ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat Muhamad Azhari dilaporkan hilang. Berikutan itu, usaha mencari dan menyelamat rakannya, Mohamad Hafis Jamuladin, 17, sedang giat dilakukan polis dengan dibantu anggota bomba dan polis marin," katanya ketika dihubungi Isnin.
Semalam, Muhamad Azhari dan Mohamad Hafis berkunjung ke pantai itu dengan rombongan bas yang disertai 40 anggota Persatuan Kompang Sinar Perkasa, Kampung Rahmat, Batu Pahat.
Kedua-dua mereka dilaporkan hilang dibawa arus laut kira-kira pukul 9 pagi.