Mayat reput tinggal tulang ditemukan di rumah kedai di Jalan Matang Kuching
Shafik Ahmad
Februari 10, 2022 21:10 MYT
Februari 10, 2022 21:10 MYT
KUCHING: Kehilangan seorang lelaki sejak 15 November tahun lalu akhirnya terjawab apabila orang awam menemukan mayat reput di sebuah rumah kedai di Jalan Matang pada Rabu.
Mangsa dikenal pasti sebagai Chrissie Hynde Thompson, 28, ditemui orang awam terbaring di sudut rumah dalam keadaan mengerikan.
Semasa diperiksa, mayat mangsa masih lengkap berpakaian baju-T dan berseluar berwarna hitam ditemukan tinggal tengkorak manakala seluruh badan tinggal tulang.
Mengesahkan perkara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi Astro AWANI berkata mayat dipercayai telah mati lebih dua minggu sebelum dijumpai.
"Menurut pegawai perubatan yang hadir di lokasi, mangsa telah meninggal dunia lebih dua minggu.
"Bagaimanapun kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat," katanya.
Pihak polis turut menjumpai barang peribadi milik mangsa termasuk pengenalan diri.
Tambah Aidi, pihaknya ada menerima laporan orang hilang yang dibuat ibu mangsa pada 15 November lalu.
Mangsa difahamkan telah keluar dari rumahnya di Jalan Belatok, Matang sebelum kehilangannya mula disedari ahli keluarga.
Kata Aidi mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.