Mayat reput terdampar di Pantai Baru Penarik

Astro Awani
Februari 28, 2016 23:04 MYT
Mayat yang ditemui telah dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat. - Foto Astro AWANI
Pengunjung Pantai Baru Penarik, Merang di sini menemui mayat yang hampir reput terdampar di pantai berhampiran sebuah resort pada petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Elias Abu Bakar berkata berdasarkan keadaan mayat, pihaknya percaya ia berada di kawasan terbabit dalam tempoh lebih dua bulan.
Menurut Elias, mayat tanpa identiti itu disedari orang awam kira-kira jam 5.30 petang dan polis telah dihubungi bagi memaklumkan penemuan berkenaan.
Berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya mayat yang ditemui kira kira 100 meter dari resort berkenaan adalah seorang lelaki.
Bagaimanapun, usia dan bangsa mayat dengan ketinggian kira-kira 5 kaki 5 inci itu masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaanya yang terlalu uzur.
Mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat.
Setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dan mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperolehi.
#mayat di pantai batu merang #mayat reput #Pantai Batu Merang
;