Mayat reput tanpa kepala ditemui terapung di Pulau Mengalum
Ruzaini Zulkepli
Ogos 21, 2019 05:17 MYT
Ogos 21, 2019 05:17 MYT
Mayat seorang lelaki ditemukan dengan keadaan mereput tanpa kepala, kedua belah kaki dan tangan.
Dalam kejadian mengejutkan kira-kira jam 8 pagi Rabu, mayat lelaki berkenaan yang difahamkan berusia sekitar 40-an ditemui terapung di perairan Pulau Mengalum, Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi malam tadi mengesahkan kejadian terbabit.
Menurut beliau, mayat mangsa ditemui oleh sekumpulan anggota polis bantuan sebuah syarikat pengendali minyak di perairan berkenaan sebelum memaklumkan insiden itu kepada pihaknya.
"Mayat dipercayai lelaki tersebut ditemukan dengan lengkap berbaju kuning, berseluar gelap.
"Keadaan mayat mangsa yang ditemui mereput, tanpa kepala, kedua belah kaki dan tangan.
"Polis sudah membawa mayat tersebut ke hospital untuk tujuan bedah siasat," katanya.
Jelas Habibi, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan pihaknya juga sedang menyiasat sekiranya mayat berkenaan berkait rapat dengan beberapa insiden bot karam di perairan berdekatan sebelum ini.
"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah susulan penemuan mayat berkenaan setakat ini.
"Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil segera bagi membantu siasatan," katanya.
#bot karam
#Habibi Majinji
#Kota Kinabalu
#mayat
#polis
#polis bantuan
#Pulau Mengalum
#reput
#siasatan
#tanpa kepala kaki dan tangan
#terapung
#unsur jenayah