Mayat reput ditemui dalam tong biru di ladang kelapa sawit

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 21, 2021 16:58 MYT
Mayat reput yang disumbat ke dalam sebuah tong berwarna biru ditemui di ladang kelapa sawit di Tiga Kongsi Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang. - Gambar PDRM
NIBONG TEBAL: Mayat reput yang disumbat ke dalam sebuah tong berwarna biru ditemui di ladang kelapa sawit di Tiga Kongsi Simpang Ampat, di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern memaklumkan, polis menerima maklumat mengenai insiden penemuan mayat terbabit daripada seorang lelaki berusia 46 tahun yang tampil membuat laporan polis pada Ahad.
Menurut Chong Chern, mayat berkenaan ditemui pada pukul 6 petang Sabtu oleh seorang pekerja di yang sedang melakukan kerja pemotongan sawit sebelum terhidu bau busuk dalam sebuah tong berwarna biru.
Sebaik memeriksa tong berkenaan, pekerja tersebut terkejut apabila mendapati terdapat satu mayat dalam keadaan sudah mengecut dan mengering sebelum memaklumkan kepada majikannya.
Chong Chern berkata, siasatan yang dijalankan ke atas mayat itu mendapati mangsa yang berusia lingkungan 40-an dipercayai sudah meninggal dunia sejak sebulan lalu.
“Tiada sebarang dokumen pengenali ditemui pada mayat itu namun polis mengesyaki mangsa adalah warga asing.
“Pemeriksaan luaran pada mayat tidak menemui sebarang kesan kecederaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.
Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#mayat reput #tong biru #ladang kelapa sawit #Tiga Kongsi Simpang Ampat #Nibong Tebal #pulau pinang #warga asing
;