Mayat reput ditemui dalam kebun jambu

Abd Razak Mohd Ali
April 11, 2022 15:17 MYT
Menurut saksi kejadian, kemungkinan si mati memanjat pagar untuk masuk ke dalam kebunnya. - Astro AWANI/PDRM
TAIPING: Mayat seorang lelaki warga emas yang telah reput ditemui di dalam kawasan kebun jambu berdekatan Taman Kaya, dekat sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, penemuan mayat yang dikenali sebagai Lee Chong Tick, 62, itu dimaklumkan orang awam kira-kira jam 6.45 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang, yang pergi ke tempat kejadian telah menemui mayat lelaki berbangsa Cina dalam keadaan terlentang dan reput.
“Pihak polis telah membuat pemeriksaan ke atas si mati dan mendapati tiada sebarang tanda berunsur jenayah pada tubuh si mati,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, katanya, semasa mengalihkan tubuh si mati, didapati keadaan tulang berselerak.
Osman berkata, menurut saksi kejadian, kemungkinan si mati memanjat pagar untuk masuk ke dalam kebunnya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, si mati juga dipercayai mempunyai masalah mental.
Katanya, mayat si mati dibawa ke Hospital Taiping untuk membuat ujian COVID-19 sebelum bedah siasat yang dijadualkan hari ini.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#mayat reput #PDRM #Taiping #masalah mental
;