Mayat remaja mangsa lemas rumah pam ditemukan tertimbus dalam pasir
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 22, 2019 12:25 MYT
Oktober 22, 2019 12:25 MYT
Mayat seorang remaja dipercayai mangsa lemas rumah pam Sungai Sik ditemukan jam 10.11 pagi ini.
Mangsa berusia 15 tahun itu meninggal dunia setelah terjatuh dalam saluran air deras di rumah pam berhampiran Balai Polis Sik malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman, mayat Mohd Fariz Iqbal Hafzai Nizam Iskandar ditemukan tertimbus di bawah pasir di dasar sungai kira-kira 4 kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.
Jelas Abdul Razak, mangsa dikatakan datang ke rumah pam terbabit sekitar jam 10 malam tadi untuk memancing.
Kehilangan mereka disedari isteri salah seorang daripada mangsa yang gagal menghubungi suaminya.
Seorang mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Mohamad Naim Ahmad, 28, merupakan kakitangan Jabatan Pengairan Saliran (JPS).
Identiti seorang lagi mangsa masih belum dikenal pasti.
Setakat ini, hanya dua keluarga membuat pengecaman terhadap pakaian dan kasut yang digunakan mangsa.
"Dipercayai tiga mangsa terlibat berdasarkan penemuan pakaian dan kasut di tempat kejadian namun masih tiada pengesahan.
"Buat masa ini hanya dua keluarga yang telah membuat pengecaman pakaian dan kasut yang ditemui.
Abdul Razak berkata operasi pencarian sedang giat dijalankan membabitkan pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam(APM) dan penduduk kampung.
Pencarian dilakukan di kawasan tebing sungai kiri dan kanan pada radius tiga kilometer dari lokasi kejadian.
#Abdul Razak Osman
#Balai Polis Sik
#Jabatan Pengairan Saliran
#mangsa lemas
#Mohamad Naim Ahmad
#Mohd Fariz Iqbal Hafzai Nizam Iskandar
#rumah pam
#saluran air
#Sungai Sik