Mayat remaja lemas ditemui di dasar sungai berselut

Astro Awani
Disember 28, 2020 11:42 MYT
Menurut aggota bomba, mayat remaja berkenaan ditemukan tersekat didasar sungai yang berselut. - Foto JBPM Kelantan
KOTA BHARU: Mayat seorang remaja yang lemas selepas mandi di Sungai Kelantan dekat Kampung Banggol, di sini ditemukan jam 7.50 pagi tadi kira-kira tiga meter dari lokasi kali terakhir mangsa dilihat tenggelam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie, mayat Amirul Mukminin Mohd Izuha, 15, ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan operasi mencari dan menyelamat pada jam 7.45 pagi tadi.
"Anggota PPDA menjalankan pencarian di dasar sungai kira-kira enam meter dari tebing.
"Lima minit kemudian, mayat ditemukan tersekat di dasar sungai yang berselut," katanya.
Mayat kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat.
Dalam kejadian pada jam 6 petang Ahad, mangsa dikatakan ke lokasi kejadian bersendirian sebelum menyertai tiga lagi rakannya yang sedang mandi di sungai berkenaan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra (SMIP), di sini, itu dilihat berjalan dan perlahan-lahan memasuki sungai sebelum tiba-tiba tenggelam dan gagal diselamatkan rakan serta penduduk kampung.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali menasihati orang ramai agar tidak menjalankan aktiviti di tepi sungai, laut atau pantai memandangkan ketika ini masih dalam tempoh musim tengkujuh bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang.
Lemas: Mayat remaja ditemui di dasar sungai berselut
#mayat #lemas #pelajar #bomba #Kota Bharu #operasi #sekolah #mangsa #remaja #remaja lemas #polis
;