Mayat remaja lemas ditemui

Noraniza Kamsani
April 22, 2018 17:58 MYT
Mayat Muhammad Haziq ditemui pasukan mencari dan menyelamat selepas dihanyutkan arus sungai ketika mandi di kawasan perkelahan Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing. - Bomba Pahang
Mayat seorang remaja yang dibawa arus deras ketika mandi-manda bersama beberapa rakannya di kawasan perkelahan Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing, di sini, semalam, ditemui pada jam 12.40 tengah hari tadi.
Mayat Muhammad Haziq Hamidi, 19 tahun, seorang pelajar di Kolej Vokasional Kuantan, ditemui kira-kira 1.5km dari lokasi dia dilaporkan hanyut.
Menurut Timbalan Pengarah Bomba Negeri, Mohd Sani Harul, mangsa ditemui terdampar di beting pasir di belakang rumah pam, Simpang Mayong, Sungai Lembing di sini.
"Mayat mangsa ditemui oleh anggota penyelamat yang mencari sejak jam 7.30 pagi tadi. Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.
Katanya, pusat operasi kini ditutup selepas pencarian mangsa dimulakan sejak tengah hari semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa bersama 16 rakannya pergi ke kawasan perkelahan itu sebelum dihanyutkan arus sungai pada jam 11.10 pagi.
Seorang lagi rakan mangsa, Mohamad Shahrel Izwan Mat Alias, 19, dikatakan turut hanyut namun berjaya diselamatkan orang awam dan beberapa rakan mereka.
#berkelah #bomba pahang #mati lemas #Muhammad Haziq #Sungai Lembing #Sungai Pasir Kubur
;