Mayat remaja lemas di pantai Teluk Nipah ditemui

Abd Razak Mohd Ali
Februari 13, 2020 15:22 MYT
Mayat Mohd Nazrul Helmi Nazri yang lemas di Teluk Nipah dibawa naik oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pda Khamis. - Gambar ihsan JBPM
Mayat remaja yang lemas dipercayai selepas melakukan aktiviti air bersama rakan-rakannya di pantai Teluk Nipah di sini, ditemui tengah hari ini.
Mangsa, Mohd Nazrul Helmi Nazri, 17, dihanyutkan air ketika menyeberang air yang sedang surut dari Teluk Nipah ke Pulau Giam.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mayat mangsa timbul selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melakukan teknik pusaran bot di kawasan berkenaan.
“Setelah membuat teknik pusaran bot dan bersiap sedia untuk menyelam, mangsa telah timbul dan dapat dibawa naik oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya dalam kenyataan.
BACA: Remaja lelaki dikhuatiri lemas di pantai Teluk Nipah
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis pada pukul 12.14 tengah hari.
Pada 3.49 petang Rabu, JBPM Perak menerima maklumat daripada orang awam yang melaporkan mangsa bersama dua lagi rakannya sedang melakukan aktiviti air di pantai tersebut.
Mereka dipercayai menyeberangi air yang sedang surut, tetapi semasa perjalanan pulang ke Teluk Nipah tiba-tiba air pasang dan ketiga-tiga mangsa hanyut.
Dua daripada mangsa sempat diselamatkan oleh bot yang membawa pelancong di lokasi manakala seorang lagi telah dihanyutkan.
Menurut jurucakap JBPM Perak, mayat mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.
“Tiada kesan luka-luka pada mangsa, cuma struktur kulit yang kecut dsebabkan berada di dalam air masin,” ujarnya.
Fenomena air surut Teluk Nipah ke Pulau Giam dikatakan berlaku hanya setahun sekali di Pulau Pangkor.
Pulau Giam terletak berhadapan dengan Teluk Nipah dan kebiasaannya pengunjung perlu menaiki bot atau berkayak untuk ke pulau tersebut.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #mayat remaja lemas ditemui #Pulau Giam #Pulau Pangkor #remaja lemas #Teluk Nipah
;