Mayat remaja lemas cuba selamatkan adik ditemui di Pantai Cenang

Adie Sufian Zulkefli
Julai 28, 2024 12:45 MYT
Mayat Muhammad Izzham Hakimie Azizi, 15, ditemukan jam 10.08 pagi Ahad. - Gambar/ PDRM
LANGKAWI: Remaja lelaki yang hilang dihanyutkan ombak ketika cuba menyelamatkan adik perempuannya ditemui lemas di Pantai Chenang, di sini pada Ahad.
Mayat Muhammad Izzham Hakimie Azizi, 15, ditemukan jam 10.08 pagi tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk bedah siasat.
“Mayat mangsa ditemui oleh pasukan bomba dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bersambung jam 8 pagi tadi.
“Dengan penemuan mayat itu operasi SAR dihentikan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam kejadian jam 2.45 petang Sabtu, Muhammad Izzham mandi di pantai itu bersama adik perempuannya dan dua rakan lelaki lain sebelum kesemua mereka dihanyutkan ombak.
Shariman berkata, Muhammad Izzham Hakimie kemudian cuba menyelamatkan adiknya, namun dia hilang tidak lama kemudian.
Adiknya serta dua rakan mereka berjaya diselamatkan orang awam dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
#Langkawi #kes lemas #pantai cenang #kasih abang
;