Mayat remaja lelaki lemas di sungai dijumpai

Azee Shafy
Mei 17, 2023 09:00 MYT
Dengan bantuan anggota penyelam, mayat mangsa berjaya dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Foto ihsan JBPM
BENTONG: Remaja lelaki yang dikhuatiri lemas petang semalam ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada kedalaman 2.4 meter di sekitar kawasan dia dipercayai terjatuh, kira-kira pukul 9.35 malam tadi.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, mangsa, Muhammad Syafiq Akmal Zaidi, 17 tahun, beralamat di Felda Lakum, Lanchang.
Dia bersama tiga rakan lain melakukan aktiviti riadah mandi-manda di D'Kasai Riverside (Monkey Rock) dekat Kampung Orang Asli Gabong di sini.
Kata Zulfadli, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 5.10 petang semalam.
"Seramai 10 orang anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bersama dua buah jentera digerakkan bagi memperkasa operasi.
"Pasukan PPDA turut membantu operasi mencari dan menyelamat. Semasa di lokasi, mayat mangsa telah dikenal pasti.
"Keadaan air terlalu deras namun bantuan penyelam berjaya membawa naik mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
#lemas #meninggal dunia #mandi-manda di sungai #D'Kasai Riverside
;