Mayat remaja hilang di Pantai Tanjung Balau ditemukan

Muhammad Aiman Hakeem
September 9, 2022 16:21 MYT
Mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Foto JBPM
KOTA TINGGI: Mayat seorang remaja yang dilaporkan hilang ketika aktiviti mandi-manda bersama lima lagi rakannya di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi Johor pagi tadi, ditemukan.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Nurish Qalisya Suhailizam,13, ditemukan jam 2.37 petang pada Jumaat oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Baharuddin Idris berkata, mayat mangsa ditemukan pada jarak 70 meter dari pantai.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Pagi tadi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) memulakan pencarian remaja terbabit dengan kaedah 'surface searching' menggunakan bot aluminium pada jarak lebih kurang 80 meter dari persisiran pantai.
Ia susulan menerima laporan pada awal pagi pada Jumaat bahawa enam remaja dikhuatiri lemas ketika sedang mandi di Pantai Tanjung Balau.
Dua mangsa kemudiannya ditemukan tidak sedarkan diri manakala tiga lagi berjaya diselamatkan orang awam.
Operasi tamat mencari dan menyelamat ditamatkan jam 3.47 petang tadi.
#lemas #Pantai Tanjung Balau #Kota Tinggi #bomba
;