Mayat pesara polis ditemui terapung di Sungai Empawah, Batang Rajang
Lynch Cowan
April 21, 2020 20:29 MYT
April 21, 2020 20:29 MYT
Mayat pesara polis yang dikhuatiri lemas pada Ahad lalu berjaya ditemui di Sungai Empawah, Batang Rajang, Sibu.
Mangsa dikenali sebagai Lim Lian Tiong, 63, ditemui terapung oleh orang awam berhampiran tebing sungai tersebut pada jam 4 petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mayat itu kemudian dibawa oleh pasukan mencari dan menyelamat yang tiba di Wharf Arang pada jam 5 petang.
"Mayat telah diserahkan kepada pihak polis dan dikenal pasti oleh ahli keluarga sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu anak bongsu perempuan mangsa, Lim Kim Choo, 34 tahun, ketika ditemui Astro AWANI berkata ibunya memberitahu ayah mereka keluar dari rumah pada Ahad menggunakan kemeja-T berwarna kuning dan berjaket serta seluar panjang sukan warna biru.
"Berdasarkan wajah yang kami lihat, ia adalah 100 peratus wajah ayah kami," katanya.
Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi Ahad lalu, mangsa bersama anak saudaranya sedang memancing dilaporkan lemas apabila perahu yang mereka naiki berlanggar bahagian hadapan sebuah tongkang mengakibatkan perahu yang mereka naiki itu karam di perairan Sungai Batang Rajang berhampiran Pulau Li Hua disini.
Mangsa dan anak saudaranya cuba menyelamatkan diri dengan berenang ke sebuah kapal tunda berhampiran.
#ACP Stanley Jonathan Ringgit
#Ketua Polis Daerah Sibu
#lemas
#Lim Lian Tiong
#pesara polis
#Sungai Empawah Batang Rajang