Mayat pertama tragedi bot bertembung di Kuala Perlis ditemukan

Adie Sufian Zulkefli
Disember 11, 2021 16:00 MYT
Mangsa dikenal pasti Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, ditemukan terapung kira-kira jam 7.46 pagi tadi. - Foto PDRM
KANGAR: Mayat salah seorang daripada dua mangsa kemalangan bot di Sungai Perlis pada Khamis lalu ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa dikenal pasti Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, ditemukan terapung kira-kira jam 7.46 pagi tadi.
"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap sekitar kira-kira 20 meter tidak jauh dari lokasi kemalangan bot berlaku.
"Kita percayai mayat mangsa tenggelam di dasar sebelum ini dan apabila ia mulai mereput selepas masuk hari ketiga mayat mula timbul,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
BACA: Dua nelayan dikhuatiri lemas bot bertembung
Menurut Wari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu Abdul Rashid Md Derus diteruskan.
Operasi menggunakan kepakaran penyelam serta Unit Anjing Pengesan (K9) dari JBPM Perlis.
Katanya, anggota penyelam akan menyelam semula di kawasan kemalangan untuk mencari sekiranya mangsa berada di kawasan itu.
Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat membabitkan 79 anggota terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Dalam kejadian Khamis lalu, dua lelaki dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot lain di Sungai Perlis berhampiran Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis.
Mangsa yang hilang dikenal pasti Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, dan rakannya, Abdul Rashid Md Derus, 45.
#lemas #bot bertembung #Kuala Perlis #mayat ditemukan
;