Mayat penuntut UiTM lemas, Tengku Mohd Afiq dijumpai

Astro Awani
Januari 12, 2020 19:03 MYT
Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu. - Foto Astro AWANI
Mayat seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Chendering yang dilaporkan lemas sejak Sabtu berjaya ditemui.
Mangsa Tengku Mohd Afiq Tengku Muhazan Shah, 20, dijumpai kira-kira jam 6.25 petang Ahad.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad berkata mayat mangsa dikesan pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian.
Jelasnya ketika melakukan rondaan, pasukan penyelamat mengesan objek terapung berhampiran kawasan benteng pemecah ombak tidak jauh dari mayat pertama dikesan pada Sabtu.
“Kita menjumpai mangsa yang kedua jarak dari PKB dianggarkan dalam satu kilometer dalam keadaan fizikal mangsa masih stabil.
“Selepas kita menjumpai mayat tersebut, kita serahkan kepada pihak polis untuk dibawa terus ke hospital untuk buat pengecaman,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata operasi tersebut membabitkan lebih 60 kekuatan termasuk polis, maritim Malaysia, rela serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Pada Sabtu kegembiraan sekumpulan pelajar UiTM cawangan Chendering bertukar tragedi selepas dua rakan mereka dilaporkan hilang manakala seorang terselamat.
Seramai 18 pelajar berkenaan dikatakan berkunjung ke pantai berkenaan kira-kira jam 5.30 petang sabtu bagi menghabiskan masa cuti hujung minggu.
Bagaimanapun mayat Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi, 21, ditemui terapung kira-kira jam 9.50 malam Sabtu.
#Chendering #lemas #mayat #Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi #Tengku Mohd Afiq Tengku Muhazan Shah #UiTM #UiTM cawangan Chendering
;