Mayat penuntut lemas selepas selamatkan adik di Sungai Perak ditemui
Abd Razak Mohd Ali
Mei 27, 2021 09:23 MYT
Mei 27, 2021 09:23 MYT
HUTAN MELINTANG: Mayat pelajar universiti yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak dua hari lalu, ditemui awal pagi ini.
Dalam kejadian di Kampung Tebing Rebak dekat sini pada Selasa, Muhammad Amirnur Hadi Ahmad Kamal, 21 tahun, penuntut Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), hilang selepas menyelamatkan adiknya.
Mayatnya ditemui pada pukul 3.30 pagi ini oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zulkifli Abdullah, mangsa ditemui kira-kira 100 meter daripada lokasi dia dihanyutkan arus deras.
“Mangsa timbul berhampiran tebing sungai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, operasi SAR merangkumi radius pencarian tujuh kilometer yang dipecahkan kepada empat kumpulan termasuk pasukan anjing pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat di Air ( PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Operasi yang diketuai Zulkifli itu ditamatkan pada jam 6 pagi.
Pada Selasa, mangsa bersama rakan sekampung dan adik lelakinya yang berumur 15 tahun mandi di sungai itu kira-kira jam 5.30 petang.
Adik mangsa dikatakan dihanyutkan arus sungai dan mangsa berjaya menolak adiknya ke permukaan air untuk diselamatkan bot orang kampung yang kebetulan lalu di situ.
Mangsa bagaimanapun tenggelam dan dihanyutkan arus deras.