Mayat pensyarah UiTM Seremban 3 ditemui di rumahnya
Bernama
September 14, 2019 15:09 MYT
September 14, 2019 15:09 MYT
Mayat seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3, ditemui di dalam rumah sewanya di kawasan perumahan Suriaman 3, Bandar Sri Sendayan, di sini, semalam.
Mayat Badrul Azmier Mohamed @ Bakar, 43, yang juga pensyarah sains politik itu ditemui kira-kira pukul 6.30 petang, selepas seorang jirannya menghidu bau busuk dari rumah lelaki tersebut.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Said Ibrahim berkata, pensyarah itu dipercayai telah meninggal dunia sejak dua hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang mereput.
"Jirannya yang menghidu bau busuk bertindak menghubungi polis. Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati rumah itu berkunci dari dalam dan meminta pengawal keselamatan kawasan perumahan tersebut menghubungi waris pensyarah itu untuk membuka pintu rumah berkenaan," katanya di sini, hari ini.
Mohd Said berkata mayat itu kemudiannya ditemui dalam keadaan hanya memakai seluar dan terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik.
"Mayat pensyarah itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) bagi proses bedah siasat dan berdasarkan siasatan polis serta hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah berhubung kematian pensyarah tersebut.
"Siasatan juga mendapati pensyarah itu yang masih belum berkahwin tinggal berseorangan di rumah sewa berkenaan. Mayatnya dituntut ahli keluarganya hari ini untuk dikebumikan di Melaka dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - BERNAMA