Mayat pemuda lemas ketika cari kepah bersama bapa ditemukan

Bernama
September 21, 2020 05:40 MYT
Mayat mangsa dibawa ke Jeti Polis Marin dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. - Gambar fail
Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang bersama bapanya ketika mencari kepah di kawasan persisiran pantai Tanjung Emas dekat Muar dua hari lepas (19 Sept), ditemukan pada Isnin.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Jefri Jamal berkata mayat Muhamad Azman Zainal, 25, yang dipercayai lemas ditemukan pada pukul 9.30 pagi, kira-kira 3.8 batu nautika daripada lokasi mangsa dijumpai.
"Lokasi mangsa dijumpai adalah di kawasan perairan Pantai Simpang Empat, Parit Haji Baki, lebih kurang dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Polis Marin dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mayat bapa mangsa iaitu Zainal Jerman, 61, pula ditemukan pada pukul 3.25 petang Ahad, di perairan sama.
BACA: Dua beranak cari kepah di laut dikhuatiri lemas
Pada Sabtu, dua beranak itu dikatakan turun ke kawasan persisiran pantai Tanjung Emas bersama dua lagi rakan menggunakan sebuah bot untuk mencari kepah di laut.
Bagaimanapun, ketika berada di laut, Zainal dilaporkan terjatuh daripada bot, menyebabkan anaknya terjun ke laut untuk menyelamatkan bapanya, sebelum mereka tidak kelihatan manakala dua lagi rakan terselamat.
-- BERNAMA
#bomba #bot #hilang #jatuh #kepah #laut #lemas #mangsa #mayat #Mohd Jefri Jamal #Muar #operasi #Pantai Simpang Empat #polis #Tanjung Emas
;