Mayat pemandu treler balak terbalik dalam tasik ditemui
Muhafandi Muhamad
April 23, 2021 20:47 MYT
April 23, 2021 20:47 MYT
GUA MUSANG: Pemandu yang dikhuatiri lemas selepas treler balaknya terbalik ke dalam tasik di Kilometer 47, Jalan Lojing-Gua Musang, di sini, semalam, ditemui maut terperangkap dalam kenderaan itu, hari ini.
Kamarulzaman Sallehuddin, 33, yang beralamat di Taman Seri Permai, Padang Rengas, Perak ditemui tersepit dalam bahagian kepala kenderaan berat itu kira-kira jam 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, terdahulu pasukan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk polis dan bomba, membawa naik kepala treler itu menggunakan dua buah kren jam 12.30 tengah hari.
"Mayat mangsa kemudian ditemui tersepit di bahagian tempat duduk penumpang dan dikeluarkan anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
#treler
#balak
#terbalik
#tasik
#Lojing
#Gua Musang
#lemas
#terperangkap
#kepala treler
#kren
#polis
#SAR