Mayat pemandu pikap terjunam di Sungai Tembila ditemukan
Nur Fazlizai Ali
Februari 17, 2022 19:25 MYT
Februari 17, 2022 19:25 MYT
BESUT: Seorang peniaga yang dilaporkan hilang selepas pacuan empat roda (pikap) yang dipandunya terjunam ke dalam Sungai Tembila, Besut ditemukan petang ini.
Mayat Shukri Wahab, 52, ditemukan selepas lebih 36 jam mangsa dilaporkan hilang pada pagi Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 6.09 petang pada Khamis.
Katanya mayat mangsa ditemukan tersangkut pada pukat oleh orang awam sekitar jarak enam kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
"Menerusi pencarian yang memasuki hari kedua kita berjaya menemui mangsa dimana sekitar jam 12 tengah hari tadi juga kita telah menjumpai beg sandang milik mangsa.
"Berdasarkan petunjuk baharu itu pencarian terus ditumpukan sekitar kawasan berkenaan sebelum orang awam berjaya mengesan mayat mangsa pada jarak enam kilometer dari lokasi kejadian," katanya.
Dia berkata mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut.
Jelasnya lagi seramai 60 kekuatan daripada pelbagai agensi telah digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Mangsa dilaporkan hilang pada Rabu manakala isterinya terselamat selepas pacuan empat roda yang dinaiki pasangan itu terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Tembila.
Bagaimanapun kenderaan jenis Toyota Hilux itu telah ditemui sekitar jarak 10 meter dari kenderaan itu dilaporkan terjatuh pada kedalaman empat meter.