Mayat pemancing terjatuh dari bot ditemui

Adie Sufian Zulkefli
Januari 2, 2016 13:38 MYT
Dalam kejadian pada 6 petang Khamis lalu, Yamim yang dalam perjalanan pulang menangkap ikan bersama seorang rakan terjatuh selepas bot mereka dipukul ombak di perairan Pulau Bidan dekat Yan.
Mayat seorang pemancing yang tergelincir ke laut dalam laut di Pulau Bidan di sini dua hari lalu ditemui kira-kira jam 7.40 pagi tadi.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Firdaus Bukari berkata mangsa, Yamim Mohd Yasin, 23, ditemui terapung oleh sekumpulan nelayan kira-kira 4.5 batu nautika dari Pulau Sayak dekat Pantai Merdeka, di sini.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Tanjung Dawai sebelum diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan bagi dibedah siasat.
Mayat mangsa ditemui selepas hampir 36 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan polis.
Dalam kejadian pada 6 petang Khamis lalu, Yamim yang dalam perjalanan pulang menangkap ikan bersama seorang rakan terjatuh selepas bot mereka dipukul ombak di perairan Pulau Bidan dekat sini.
Mangsa kemudian dilaporkan hilang, manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri.
Berikutan itu, operasi SAR dilakukan bagi mengesan mangsa.
#maut #Memancing #pulau bidan #yamim mohd yasin
;