Mayat pemancing lemas di Tasik Gubir ditemukan
Adie Sufian Zulkefli
Julai 1, 2022 19:08 MYT
Julai 1, 2022 19:08 MYT
SIK: Mayat seorang pemancing yang lemas di Tasik Gubir ditemukan hari ini.
Mayat Othman Abdul Ghani, 49, ditemui terapung pada jarak 10 meter dari tempat bot dinaikinya tenggelam pada pukul 3 petang ini.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mayat ditemui pasukan bomba dan penduduk kampung dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung semula awal pagi tadi.
“Mayat ditemui lengkap berpakaian dan beg pinggang masih berada di pinggang.
“Mayat kemudian diangkat ke dalam bot Bomba dan di bawa ke jeti sebelum di hantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas Abdull Razak, dengan penemuan mayat mangsa, operasi SAR ditamatkan dan kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Dalam kejadian semalam, mangsa dikatakan pergi ke tasik itu untuk memancing ikan bersama rakannya dengan menaiki sebuah bot.
Bagaimanapun, ketika ingin menuju ke kawasan lubuk ikan bot mereka terlanggar tunggul kayu lalu terbalik dan karam.
“Kedua-dua mangsa melompat ke dalam air dan rakan mangsa sempat berenang ke tebing namun sebaik sampai dia baru menyedari mangsa tiada bersamannya.
“Rakan mangsa yang selamat kemudiannya membuat laporan polis dan operasi SAR dilancarkan untuk mencari mangsa,” ujarnya.