Mayat pemancing jatuh tebing di Jambatan Mempatih ditemui sempurna

Amirah Nordin
Januari 19, 2023 10:25 MYT
Anggota bomba menaikkan ke atas bot mayat yang ditemui pada jarak 1.5 kilometer dari tempat kejadian, pagi ini. - Foto JBPM Pahang
TEMERLOH: Mayat Muhammad Ikhram, 23 tahun, yang dilaporkan hilang ketika memancing pada Selasa ditemui dalam keadaan sempurna berseluar tanpa baju pada jam 8.37 pagi ini.
Mangsa bersama rakannya dilaporkan pergi memancing di Jambatan Mempatih, Lanchang, dekat sini, dan dipercayai terjatuh dari tebing sungai pada jam 10.56 malam.
Anggota Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab dan Unit pengesan K9 menemui mayat mangsa pada jarak 1.5 kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat daripada polis sebelum ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Anggota pasukan bomba bertindak memulakan operasi SAR di sekitar tempat kejadian sebelum ditangguhkan dan bersambung pada pagi ini.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna dan berseluar. Mangsa tidak memakai baju ketika terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
#Memancing #jatuh tebing #Jambatan Mempatih #JBPM Pahang
;