Mayat pemancing disambar buaya di Semporna ditemukan
Bernama
Ogos 23, 2022 22:36 MYT
Ogos 23, 2022 22:36 MYT
SEMPORNA: Mayat pemancing yang dilaporkan dibaham buaya ketika sedang memancing di tepi Sungai Pegagau, Ahad lalu, ditemui oleh orang awam petang tadi.
Mangsa, Azman Tugau, 35 ditemukan oleh penduduk kampung yang turut membantu dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga, hari ini.
Ketua Balai Bomba Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata penduduk menemukan mangsa 800 meter dari lokasi kejadian pada jam 5 petang sebelum memaklumkan kepada pihak bomba.
"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan kurang sempurna, tanpa kepala, kedua-dua belah kaki dan turut kehilngan sebelah tangan.
"Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital Semporna dan SAR ditamatkan pada jam 5.57 petang," katanya.
Terdahulu pada Ahad, mangsa, dipercayai keluar memancing bersama sepupunya di tepi sungai Pegagau Semporna sebelum disambar buaya di tepi sungai berkenaan pada jam 3 petang.
Sepupunya yang sempat menyelamatkan diri semasa kejadian membuat laporan polis di Balai Polis Semporna berkaitan kejadian itu sebelum SAR diaktifkan pada jam 8.18 malam hari yang sama namun mangsa gagal ditemui.