Mayat pemancing cuba selamatkan penumpang ditemui

Astro Awani
Februari 10, 2019 09:10 MYT
Pasukan penyelamat membawa keluar mayat Abdul Bari yang ditemui pagi ini, 10 Feb, 2019. - Astro AWANI
Mayat pemancing yang hilang ketika cuba menyelamatkan lima mangsa kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam muara Sungai Terengganu pada Jumaat malam berjaya ditemui pagi ini.
Mayat Abdul Bari Asyraf Mohd, 31 tahun, dijumpai kira-kira jam 7.24 pagi ini pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Sharikan Bustaman berkata mayat mangsa dikesan dalam keadaan terapung oleh orang awam.
"Mangsa telah dijumpai oleh orang awam yang berada berhampiran, di kawasan muka kuala Tanjung, Kuala Terengganu, dalam jarak 2.5 kilometer.
"Dan pada masa yang sama sebenarnya, pegawai-pegawai kita sedang buat rondaan di kawasan berhampiran. Jadi, kita cepat mengambil keluar mangsa yang terapung hampir dengan muka kuala itu," katanya.
Menurutnya, hasil pengecaman yang dilakukan ahli keluarga mengesahkan ia adalah mayat Abdul Bari.
BACA: Pemancing hilang di Sungai Terengganu mungkin kejang otot - Polis
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut.
Sharikan berkata, operasi yang bermula jam 7 pagi itu membabitkan 98 kekuatan dari pelbagai agensi.
Tambahnya, dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan pusat kawalan SAR ditutup secara rasmi pada jam 8.30 pagi.
Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam pada Jumaat, seorang pemancing dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga dalam sebuah kenderaan yang terjunam ke dalam muara Sungai Terengganu.
#Abdul Bari Asyraf Mohd #bomba #hilang #Kuala Terengganu #mangsa #mayat #menyelamat mangsa #Mitsubishi Storm #operasi #pacuan empat roda #pemancing #Sharikan Bustaman #terengganu
;