Mayat pelancong India hilang daki gunung di Cameron Highlands dibawa turun dengan helikopter
Bernama
Oktober 1, 2023 17:45 MYT
Oktober 1, 2023 17:45 MYT
CAMERON HIGHLANDS: Mayat pendaki warga India yang hilang sejak 22 Sept lepas di Gunung Jasar berjaya dibawa turun 11.20 pagi tadi, kata Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.
Yahaya berkata mayat Nandan Suresh Nadkarni, 44, dibawa turun menggunakan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Ipoh selepas operasi membawa turun mayat semalam gagal disebabkan faktor muka bumi.
"Mayat mangsa ditemukan pada sekitar 3.40 petang semalam di satu anak sungai berhampiran Pos Atap dan jaraknya lebih kurang enam kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di kaki Gunung Jasar.
"Hasil siasatan polis mendapati ketika mangsa turun dari puncak Gunung Jasar, beliau telah tersasar daripada laluan asal menyebabkan sesat jauh ke dalam hutan dan melepasi sempadan negeri Perak," katanya dalam sidang media hari ini.
Terdahulu, Nandan Suresh dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Jasar, Cameron Highlands, sejak seminggu lepas.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan dan hasil siasatan awal berdasarkan rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di sekitar Tanah Rata mendapati mangsa keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti mendaki di Trail 10 Gunung Jasar kira-kira 9 pagi, 22 Sept.
Operasi SAR itu melibatkan 101 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO), Malim Gunung Cameron Highlands dan Radio Communication and Recreation Club.
Sementara itu, Yahaya berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands bagi tujuan bedah siasat.
"Proses bedah siasat akan dilakukan bagi mengetahui punca kematian mangsa dan rakan mangsa yang berada di sini sejak SAR dilancarkan telah diberitahu untuk tujuan pengecaman mayat.
"Hasil semakan polis juga mendapati mangsa ada memberitahu rakannya menyatakan beliau pergi mendaki dan sampai di puncak Gunung Jasar, namun beliau tidak pulang ke hotel dan mendaftar keluar," katanya.
Katanya Nandan Suresh yang bekerja sebagai aktuari mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 Sept dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 Sept.
"Kita juga dimaklumkan mangsa mempunyai satu persidangan di Kuala Lumpur pada 25 Sept dan beliau mengambil keputusan melawat Cameron Highlands terlebih dahulu untuk melakukan pendakian.
"Semakan di tempat mangsa menginap mendapati barangan peribadi milik beliau seperti pasport, komputer riba, dompet dan pakaian masih berada dalam bilik dan mangsa mendaftar masuk seorang diri," katanya.
-- BERNAMA