Mayat pelancong Arab Saudi diserah kepada keluarganya

Bernama
Julai 8, 2016 09:53 MYT
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang semalam, pelancong itu bersama keluarganya telah mengunjungi Tasik Dayang Bunting untuk mandi-manda sebelum mangsa lemas. - Gambar hiasan
Mayat seorang pelancong Arab Saudi, Alahmadi Hussain Fuada, 19, yang mati lemas di Tasik Dayang Bunting di sini semalam telah diserah kepada keluarganya hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Dr Che Ghazali Che Awang berkata, mayat itu diserahkan selepas hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mati lemas dan tiada unsur jenayah.
"Bedah siasat itu telah dilakukan di Hospital Langkawi pada pukul 11.00 pagi tadi," katanya kepada Bernama.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang semalam, pelancong itu bersama keluarganya telah mengunjungi Tasik Dayang Bunting untuk mandi-manda sebelum mangsa lemas.
Mangsa dipercayai telah tergelincir dan terjatuh ke dalam tasik dari pelantar terapung.
#bedah siasat #lemas #mayat #pelancong Arab Saudi #Tasik Dayang Bunting