Mayat pelajar UiTM Chendering ditemukan
Astro Awani
Januari 11, 2020 00:31 MYT
Januari 11, 2020 00:31 MYT
Mayat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Chendering yang dilaporkan lemas di Pantai Pandak, Chendering berjaya ditemukan.
Mangsa Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi, 21, ditemui terapung kira-kira jam 9.50 malam Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu memaklumkan mayat remaja itu dikesan sekitar jarak satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Mangsa ditemui unit PPDA ketika operasi pencarian di pesisir pantai. Unit PPDA berenang ke dalam air lebih kurang 4 meter untuk mengambil mangsa dan bawa ke pantai," kata jurucakap bomba.
Dalam kejadian pada Sabtu, kegembiraan sekumpulan pelajar UiTM cawangan Chendering bertukar tragedi selepas dua rakan mereka dilaporkan hilang manakala seorang terselamat.
Seramai 18 pelajar berkenaan dikatakan berkunjung ke pantai berkenaan kira-kira jam 5.30 petang sabtu bagi menghabiskan masa cuti hujung minggu.
Bagaimanapun ketika leka mandi ketiga-tiga mangsa dikatakan telah ditarik ombak sebelum hilang dibawa arus.
Sementara itu operasi mengesan seorang lagi mangsa masih giat dijalankan.
#Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu
#Chendering
#Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi
#Pantai Pandak
#pelajar UiTM lemas
#terapung
#UiTM Chendering
#Universiti Teknologi MARA