Mayat pelajar tahfiz lemas ditemui
Astro Awani
Ogos 30, 2019 12:21 MYT
Ogos 30, 2019 12:21 MYT
Mayat pelajar tahfiz yang lemas selepas mandi di dalam Sungai Anak Bukit di sini pada Khamis telah ditemui kira-kira jam 9.57 pagi tadi.
Menurut Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail, mayat ditemui di dasar sungai oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jarak 20 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.
Dalam kejadian semalam, mangsa, Muhammad Shukri Amri Kadir, 19 tahun, bersama tujuh rakan lain turun ke sungai itu untuk mandi.
Bagaimanapun, mangsa kemudiannya dilihat terkapai-kapai di tengah sungai sebelum hilang dibawa arus.
Mangsa merupakan pelajar Pondok Darul Taqwa di Padang Katong, Perlis.
Dia dikatakan datang ke kawasan itu untuk memunggah kayu dan papan untuk dibawa pulang bagi membina pondok di pusat pengajiannya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa dipercayai mengalami kekejangan kaki sebelum lemas.
"Masa mandi kaki mangsa kekejangan dan terus lemas... pasukan PPDA membuat penyelaman dan telah menjumpai mangsa di dasar sungai. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Mohamadul Ehsan berkata seramai 21 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa itu dengan 12 daripadanya merupakan anggota unit PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra serta BBP Sungai Petani.
#Alor Setar
#bomba
#hilang
#kekejangan kaki
#lemas
#mangsa
#mayat
#Muhammad Shukri Amri Kadir
#operasi
#pelajar
#pelajar tahfiz
#PPDA
#Zamani Ismail