Mayat pelajar lemas dengan kaki mereput ditemui selepas lapan hari hilang
Bernama
Mei 11, 2014 16:18 MYT
Mei 11, 2014 16:18 MYT
Mayat pelajar lelaki tingkatan tiga ditemui petang semalam selepas lapan hari dilaporkan hilang ketika mandi di Air Terjun Sungai Gapoi, Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Nor Mansor berkata, mayat Sean Ng, 15, ditemui orang awam kira-kira lima kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
"Mayat mangsa yang berasal dari Taman Melawati, Kuala Lumpur itu ditemui pada 6.10 petang semalam oleh orang ramai yang kemudian memaklumkan kepada anggota polis.
"Sebahagian tubuh mayat dan kaki kanannya dalam keadaan reput dan mayat dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya keluarga pelajar itu telah dimaklumkan tentang penemuan itu.
Pelajar itu bersama-sama 11 rakannya yang berkelah di kawasan rekreasi berkenaan dilaporkan hilang kira-kira 3 petang ketika mandi.