Mayat Orang Asli hilang ditemui terapung

Astro Awani
Januari 8, 2021 23:49 MYT
Punca kematian mangsa tidak dapat dipastikan dan mangsa dibawa ke Hospital Kulai untuk dibedah siasat setelah dibawa ke jeti maritim pada 4.30 petang. - Foto BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Mayat seorang lelaki Orang Asli daripada suku Seletar yang hilang tiga hari lalu ditemui mati dalam keadaan terapung di Sungai Karang, Gelang Patah kira-kira pukul 4 petang Jumaat.
Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, PgKB II Mohd Yunus berkata, Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) itu melibatkan seramai 30 pegawai bomba termasuk unit anjing pengesan (K9), unit penyelamat di air dengan aset tiga buah bot, selain turut dibantu 20 buah bot nelayan kampung dan sebuah bot maritim.
Walau bagaimanapun, punca kematian mangsa tidak dapat dipastikan dan mangsa dibawa ke Hospital Kulai untuk dibedah siasat setelah dibawa ke jeti maritim pada 4.30 petang.
Beliau berkata, hasil siasatan turut mendapati mangsa juga dipercayai mempunyai masalah kesihatan iaitu asma.
“Kami mendapat panggilan dari keluarga mangsa apabila mangsa keluar ke kawasan paya bakau sekitar Sungai Boh dan Karang untuk menangkap ketam pada 6 hari bulan.
“Keluarga mangsa buat laporan selepas mangsa gagal pulang pada 6 Januari, operasi SAR bermula pada 7 Januari pagi melibatkan bomba maritim dan orang kampung, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan tiga bot bomba dan satu maritim termasuk 20 orang awam.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki orang asli dikhuatiri hilang ketika mencari ketam di kawasan Hutan Paya Bakau Sungai Boh.
Isteri mangsa wangti yang bimbang apabila suaminya tidak pulang sehingga lewat petang telah memaklumkan penduduk kampung, yang kemudiannya berusaha mencari, namun mereka hanya menemui bot suaminya sekitar kawasan hutan sebelum membuat laporan polis.
#Kulai #polis #hilang #bomba #mayat #Orang Asli #kesihatan #siasatan #operasi #nelayan #terapung #Sungai Karang #Gelang Patah
;