Mayat Nora Anne sudah dituntut keluarga

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 16, 2019 05:38 MYT
Mayat Nora Anne dibawa keluar dengan menaiki van yang sebelum itu dilihat mengambil tempat di ruang parkir rumah mayat sekitar jam 12.38 tengah malam. - Astro AWANI
Selepas lebih 48 jam selesai proses bedah siasat, mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 tahun, akhirnya dituntut keluarganya untuk dibawa pulang malam tadi.
Mayat Nora Anne dibawa keluar daripada Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) sekitar jam 12.42 malam tadi selepas semua urusan dokumentasi diselesaikan.
Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.
"Saya dimaklumkan mayat remaja berkenaan baru sahaja dibawa keluar, dan difahamkan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya ringkas ketika dihubungi malam tadi.
Mayat remaja itu dibawa dengan menaiki sebuah van jenis Toyota Hi-Ace berwarna kelabu yang dilihat mengambil tempat di ruang parkir rumah mayat sekitar 12.38 malam.
Kenderaan yang membawa sebiji keranda itu keluar meninggalkan HTJ kira-kira empat minit kemudian.
Terdahulu, petugas media yang berteka teki bila mayat remaja berkenaan akan dibawa keluar dari rumah mayat itu mula memenuhi lokasi berkenaan seawal jam 10.30 malam selepas mendengar 'desas-desus' berhubung perkara itu.
Sekitar 11 malam, beberapa petugas Jabatan Perubatan Forensik dilihat mula memasuki kawasan rumah mayat itu selain kawasan berkenaan dikawal ketat pengawal keselamatan.
Bagaimanapun, sejak 10.30 malam, tiada kelibat anggota keluarga mahupun pihak kedutaan dilihat hadir.
Nora Anne bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapan itu pada 3 Ogos, sehari sebelum dia dilaporkan hilang pada awal pagi esoknya.
Mayat remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu ditemui pada Selasa lalu, selepas hilang selama 10 hari.
Laporan bedah siasat pada Khamis mendapati, kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan dia disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.
#dituntut keluarga #hilang #Hospital #Hospital Tuanku Ja'afar #Jabatan Perubatan Forensik #kebocoran usus #keluarga #KLIA #masalah pembelajaran #mayat #Mohamad Mat Yusop #Nora Anne Quoirin #polis #remaja ireland #resort #Seremban #urusan dokumentasi
;