Mayat Nik Abdul Aziz yang lemas di Pantai Irama ditemui

Muhafandi Muhamad
Disember 26, 2016 11:54 MYT
Mayat mangsa ditemui 3 kilometer dari tempat dia dilaporkan terjatuh. - Foto JBPM
Mayat Nik Abdul Aziz Al Fathoni Abdul Halim, 6, yang dilaporkan lemas pada petang dua hari lalu ditemui pagi tadi, di Pantai Tanjung Perupok, di sini, 3 kilometer dari kawasan mangsa terjatuh.
Menurut pegawai Jabatan Bomba Dan Penyelamat Bachok, Ibrahim Mohd Rohni, mangsa ditemui sekitar jam 7.15 pagi tadi di kawasan pesisiran pantai berkenaan.
Mayat Nik Abdul Aziz yang beralamat di Taman Binaraya, Pasir Tumbuh terjatuh ketika bermain di kawasan pemecah ombak Pantai Irama, bersama dua adik-beradiknya pada petang 24 Disember lepas.
Anak kecil itu dipercayai terjatuh dari benteng tersebut selepas dipukul ombak kuat.
Mangsa datang ke Pantai Irama bersama ibunya Nik Siti Hanifah Nik Ahmad, 40, dan empat adik-beradik berusia antara 1 dan 9 tahun.
Mayat Nik Abdul Aziz dihantar ke unit forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) untuk urusan bedah siasat.
#Bachok #bomba #lemas #Nik Abdul Aziz #pantai tanjung perupok #SAR
;