Mayat nelayan jatuh laut ditemukan terapung

Bernama
Mac 6, 2023 15:20 MYT
Mayat Chan Eng Liong, 53, ditemukan terapung oleh pihak bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 4.12 pagi tadi. -Gambar hiasan/Wikipedia
GEORGE TOWN: Mayat nelayan tempatan yang terjatuh ke dalam laut di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Teluk Bahang, dekat sini semalam ditemukan terapung tidak jauh dari lokasi lelaki itu terjatuh, awal hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata mayat Chan Eng Liong, 53, ditemukan terapung oleh pihak bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 4.12 pagi tadi.
"Pihak kami telah mengaktifkan SAR sebaik dimaklumkan berhubung kejadian seorang nelayan bot tempatan terjatuh ke dalam laut di Jeti LKIM Teluk Bahang pada 5 petang semalam sebelum mayat mangsa ditemukan awal pagi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
-- BERNAMA
#Maritim Malaysia #mayat nelayan #jeti LKIM Teluk Bahang #Chan Eng Liong
;