Mayat nelayan hilang ditemui
Sharom Abu Bakar
Julai 26, 2018 21:06 MYT
Julai 26, 2018 21:06 MYT
Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang tiga hari lalu, ditemui kumpulan nelayan, berhampiran Pulau Perhentian, di sini hari ini.
Ketua Penyelaras SAR MRSC Kuantan, Kapten Maritim V. Pannir Selvan Veloo berkata, mayat Mohd Shairil Ibrahim, 35 tahun, ditemui sekumpulan nelayan yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu batu nautika dari lokasi bot dilaporkan karam.
Jelasnya mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Dalam kejadian pada Isnin lalu, bot kelas A yang dinaiki mangsa dan seorang rakan, Mohd Saupi Ibrahim, 57 tahun, karam akibat angin kencang dalam kejadian ribut kira-kira tujuh batu nautika dari selatan Pulau Perhentian.
Kedua-dua nelayan tersebut difahamkan dalam perjalanan dari Pulau Perhentian menuju ke Pulau Lang Tengah sebelum terjun ke dalam laut dengan pelampung keselamatan bagi menyelamatkan diri.
Mohd Saupi berjaya diselamatkan sebuah bot nelayan pada Selasa.
#hilang
#mayat
#Mohd Saupi Ibrahim
#Mohd Shairil Ibrahim
#nelayan
#Pulau Perhentian
#V Pannir Selvan Veloo