Mayat nelayan ditemukan enam kilometer dari lokasi bot terbalik

Bernama
Julai 18, 2022 06:30 MYT
Mangsa ditemukan menerusi kaedah pencarian di permukaan berhampiran jambatan Kampung Sawah Banting pada jam 1.25 tengah hari. - Foto ihsan JBPM Selangor
BANTING: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot terbalik berhampiran Jeti LKC di Kampung Sungai Rambai, Jenjarom, dekat sini, pada Ahad ditemukan lemas kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian, pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata mangsa Mohd Azra'e Hamir Hasan berumur lingkungan 30-an ditemukan menerusi kaedah pencarian di permukaan berhampiran jambatan Kampung Sawah Banting pada jam 1.25 tengah hari.
"Kerja mencari dan menyelamat mangsa dimulakan petang Ahad dan diteruskan pada Isnin dengan tertumpu pada jarak satu kilometer ke arah Sungai Manggis dan Pulau Carey.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat," katanya kepada Bernama.
Pada Ahad, bot dinaiki mangsa dan dua rakannya, Ady Abdul Rahman, 56, dan Mohd Firdaus Mohamad, 40-an, dilaporkkan terbalik.
Ady dan Mohd Firdaus berjaya menyelamatkan diri masing-masing namun Azra'e dilaporkan hilang.
-- BERNAMA
#Nelayan lemas #bot terbalik #Jeti LKC #Norazam Khamis
;