Mayat nelayan ditemui selepas enam hari
Bernama
Mei 14, 2017 07:22 MYT
Mei 14, 2017 07:22 MYT
Mayat nelayan yang dilaporkan hilang hampir enam hari setelah bot pukat tunda dinaiki mangsa bersama tiga lagi rakan dilanggar kapal dagang di perairan dekat Kuala Muda, ditemui petang Ahad .
Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah Lt Kom Ahmad Kamal Mohd Noor berkata mayat itu ditemui terapung oleh nelayan yang sedang menangkap ikan kira-kira 35 batu nautika dari Pulau Langkawi.
"Setelah menerima laporan itu, APMM telah menghantar bot Penggalang ke lokasi dan membawa mayat tersebut ke Jeti Kuala Kedah," katanya kepada pemberita di Jeti Kuala Kedah di sini pada Ahad.
Menurutnya sejurus tiba, rakan serta pemilik bot pukat tunda berkenaan diminta membuat pengecaman awal dan mengesahkan mayat tersebut adalah Ekkachai Sutprasoet, 30.
Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.
Pada Selasa lalu, dua nelayan terselamat, seorang maut manakala seorang lagi hilang selepas bot mereka karam akibat dilanggar kapal dagang di 35 batu nautika barat Kuala Muda.
--BERNAMA