Mayat Naim Hariri ditemukan
Nur Fazlizai Ali
Disember 27, 2020 10:15 MYT
Disember 27, 2020 10:15 MYT
MARANG: Mayat bakal pengantin yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan lemas di Pantai Alor Tuman, di sini.
Jasad Naim Hariri Kamaruddin, 31, dikesan terdampar kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata ketika beliau melakukan rondaan telah mengesan satu objek terdampar di tepi pantai.
“Pada jam 8.55 pagi tadi, kami telah jumpa mayat lelaki yang terdampar lebih kurang tiga kilometer dari pos kawalan tempat kejadian dan saya telah memanggil ayah mangsa.
“Beliau telah mengecam mayat yang ditemui itu milik anaknya berpandukan beberapa identiti yang ada pada jasad, dan sekarang ini mayat sedang diperiksa pihak forensik,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna di atas pasir pantai.
Jenazah Naim Hariri dibawa naik pada jam 10.10 pagi tadi.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Pada Jumaat, hasrat seorang lelaki untuk menamatkan zaman bujangnya tidak kesampaian selepas dikhuatiri lemas di Pantai Kelulut.
Mangsa Naim Hariri Kamaruddin dikatakan ditarik ombak ketika mandi dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang Jumaat.
#bakal pengantin
#Naim Hariri Kamaruddin
#Mohd Zain Mat Dris
#Pantai Alor Tuman
#Pantai Kelulut
#Marang
#mayat
#Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah
#HSNZ