Mayat Naib Ketua Armada Bersatu Kota Tinggi ditemui

Ernalisa Othman
Disember 11, 2020 15:56 MYT
Mayat Mohd Zulfikrie ditemui di kawasan berbatu menghala ke Tanjung Lompat kira-kira pukul 3 petang tadi. - Gambar fail
KOTA TINGGI: Mayat Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi Mohd Zulfikrie Buang yang tergelincir selepas terjatuh ke dalam laut di Jeti Tanjung Balau, Bandar Penawar KotaTinggi petang Khamis telah ditemui.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail, ketika dihubungi Astro AWANI berkata, mayat ditemui di kawasan berbatu menghala ke Tanjung Lompat kira-kira pukul 3 petang tadi.
"Kami menemui mayat mangsa dengan jarak anggaran 500 meter dari tempat kejadian atau tempat mangsa jatuh.
"Semalam pihak bomba bertindak membuat pencarian di pinggir pantai di tiga kawasan iaitu Jeti Nelayan Tanjung Balai, Jeti Chalet Tanjung Balau dan Pantai Tanjung Balai.
"Dan pukul tiga petang tadi pihak kami berjaya menemui mangsa ditempat yang saya nyatakan tadi,"
Difahamkan jasad Mohd Zulfikrie Buang, 24, dibawa ke Hospital Kota Tinggi.
Semalam kira-kira pukul 5.05 petang, Mohd Zulfikrie dikatakan tergelincir dari perancah semasa membuat kerja-kerja membaiki kerosakan jeti itu sebelum hilang selepas jatuh.
BACA: Naib Ketua Armada Kota Tinggi dikhuatiri lemas
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengalami kesukaran kerana hujan lebat selain keadaan laut berombak dan angin kuat.
Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah kenderaan utiliti Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.
SAR turut dibantu agensi lain seperti polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut hadir," katanya dalam satu kenyataannya.
#PPBM #Astro Awani #Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda #Kota Tinggi #ARMADA #Mohd Zulfikrie Buang #mayat naib Ketua Armada
;