Mayat murid lemas di Boardwalk Setiu ditemui
Bernama
Ogos 12, 2018 12:44 MYT
Ogos 12, 2018 12:44 MYT
Mayat murid lelaki Tahun Enam yang dilaporkan hilang ketika mandi-manda di Boardwalk Setiu, Pengkalan Gelap di sini semalam, ditemui pada 7.30 pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, mayat Muhammad Nor Hafizul Norizan, 12, ditemui bapa saudaranya ketika memanjat pokok berhampiran sungai dalam usaha mencari anak saudaranya.
"Semasa memanjat pokok, dia ternampak mayat mangsa timbul ke permukaan kira-kira 650 meter dari lokasi kejadian dan bertindak memaklumkan kepada pihak bomba," katanya di sini, hari ini.
Mayat Muhammad Nor Hafizul diserah kepada polis untuk dihantar ke Hospital Setiu.
Menurut Mustafa, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 8.40 pagi.
Murid itu dilaporkan dibawa arus deras ketika mandi-manda dan mencari kepah bersama beberapa rakan tengah hari semalam.
-- BERNAMA
#boardwalk setiu
#Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu
#Mayat lemas
#Muhammad Nor Hafizul
#Pengkalan Gelap