Mayat Mohd Hafiz, kanak-kanak tergelincir ke dalam sungai ditemukan
Adie Sufian Zulkefli
November 8, 2021 13:04 MYT
November 8, 2021 13:04 MYT
YAN: Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Kampung Perupok pada Ahad, ditemukan lemas hari ini.
Mayat Mohd Hafiz Izzan Awari, 6, ditemukan jam 10.05 pagi tadi oleh penduduk kampung yang turut membantu pencarian mangsa sejak jam 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa ditemui di Kampung Setar kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.
"Pada jam lebih kurang 10.05 pagi tadi mangsa telah ditemukan lebih kurang dua kilometer daripada tempat mangsa dipercayai jatuh," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat di sini hari ini.
Beliau berkata, dengan penemuan jasad mangsa itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu pelbagai agensi termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mayat kemudiannya mangsa dihantar ke Hospital Yan untuk pengecaman dan bedah siasat.
Sementara itu bapa mangsa Awari Md Daud, 34, berkata dia terus terjun ke dalam sungai selepas dimaklumkan isterinya tentang kehilangan anak mereka yang merupakan anak ketiga dari lima beradik.
Usahanya untuk menyelamatkan mangsa bagaimanapun gagal kerana air deras ketika itu, namun dia redha dengan pemergian anaknya itu.
"Saya redha dah, saya terima dia jatuh tu cuma kita hendak jasad dia," katanya.
Dalam kejadian semalam mangsa dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam sungai di Kampung Perupok.
Mangsa dikatakan bersama kakaknya sebelum dia dilaporkan terjatuh dan dihanyutkan arus sungai.