Mayat mendiang Khoo Kay Kim selamat disemadikan

Fareez Azman
Jun 1, 2019 13:10 MYT
Keluarga dan kenalan mendiang memberi penghormatan terakhir. - Astro AWANI
Mayat sejarawan negara dan tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, yang meninggal dunia Selasa lalu selamat disemadikan di Nirvana Memorial Park Shah Alam hari ini.
Terdahulu, mayat mendiang yang dibawa kenderaan mayat tiba kira-kira jam 11.30 pagi.
Turut kelihatan, balu mendiang Puan Sri Rathi Khoo, serta tiga orang anak mereka, Eddin, Rubin dan Mavin.
Ia disusuli dengan upacara penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan lebih 50 kenalan rapat mendiang.
Keadaan pilu menyelubungi suasana apabila rata-rata ahli keluarga tidak dapat menahan sebak sebaik keranda dibawa masuk untuk proses pembakaran.
Khoo menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya Selasa lalu selepas menghidapi masalah paru-paru.
Mendiang antara tokoh sejarawan yang telah banyak berjasa kepada negara dan juga antara penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada 1969.
#kehilangan #keluarga #Khoo Kay Kim #mendiang #penghormatan terakhir #Rukun Negara #sebak #Sejarawan Negara #Semadi
;