Mayat mangsa tragedi bot karam Bagan Jermal dijumpai
Astro Awani
Ogos 28, 2016 12:50 MYT
Ogos 28, 2016 12:50 MYT
Mayat mangsa tragedi bot karam di perairan Pulau Pinang berdekatan Bagan Jermal, di sini pada Jumaat malam telah ditemui di Perairan Gurney pagi Ahad.
Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Komander Maritim Azman Samsudin berkata mayat Rosmin Selamat, 62 tahun, dijumpai orang awam pada jam 8 pagi di Perairan Gurney, kira-kira 35 jam selepas dilaporkan hilang.
Jenazah mangsa yang berasal dari Pantai Remis, Perak itu telah dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Pulau Pinang dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut melibatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam ditamatkan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Jumaat, bot fiber yang dinaiki Rosmin dan enam lagi pekerja kontrak di Pulau Jerejak karam di perairan Pantai Bagan Jermal akibat dipukul ombak.
Enam daripada mereka berjaya diselamatkan tetapi Rosmin tidak dapat dikesan dan dipercayai dihanyutkan ombak kuat.
Siasatan awal menunjukkan hanya seorang daripada mereka memakai jaket keselamatan ketika kejadian.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi keluarga mangsa ketika urusan menuntut jenazah di Hospital Pulau Pinang.
Jenazah Rosmin dituntut isterinya, Shamsiah Mohd Khadri, 64 tahun, dan anak pasangan itu Shamsul Bharin Shah serta Nor Diyana.
Menurut Shamsul, jenazah bapanya akan disemadikan di Simpang Renggam, Johor.
Jelas Shamsul, kali terakhir dia berjumpa dengan ayahnya adalah pada sambutan hari raya Aidilfitri Julai lalu, manakala perbualan terakhir adalah menerusi telefon minggu lalu.