Mayat mangsa lemas Sungai Sarawak ditemui selepas tiga hari
Astro Awani
Mac 28, 2021 10:39 MYT
Mac 28, 2021 10:39 MYT
KUCHING: Mayat mangsa lemas di Sungai Sarawak tiga hari lalu berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pagi ini.
Menurut Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak Melvin Amuk, mangsa, Mohammad Amirul Syahlan Affendi, 27 tahun, ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir beliau dilaporkan.
"Pagi ini SAR hari ketiga, kita bersyukur kerana mangsa telah dijumpai 300 meter dari tempat kejadian.
"Operasi telah bermula pada jam 6.30 pagi dan mangsa dijumpai pada pukul 8.30 pagi. Keadaan mangsa adalah sempurna," kata Melvin.
Mayat Mohammad Amirul kemudiannya disahkan oleh ahli keluarga, termasuk ibu dan isterinya, pada sekitar jam 9.30 pagi, di bawah Jambatan Satok.
Mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
Pada Jumaat, mangsa yang berasal dari Kampung Gersik di sini, dipercayai terjun dari Jambatan Satok, dengan meninggalkan kenderaannya di tepi jalan.
Ini kali keempat kejadian lemas di Sungai Sarawak dalam tempoh tiga bulan.