Mayat mangsa lemas Sg Ban Hoe ditemui
Astro Awani
Januari 23, 2015 19:24 MYT
Januari 23, 2015 19:24 MYT
Mayat seorang pekerja syarikat swasta yang hilang ketika memancing di sungai Ban Hoe, Cherul Bandar Ceneh Baharu petang Rabu lalu ditemui pagi Jumaat.
Mayat Rimedan Seman, 25 tahun ditemui kira-kira jam 7.40 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Mangsa yang lemas dijumpai terapung di permukaan sungai berkenaan di kawasan pusaran air kira-kira lima meter dari tempat beliau dikatakan terjatuh dan lemas.
Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan 1, Rafie Abdul Karim berkata, selain pasukan bomba dan penyelamat, gerakan mencari turut dibantu unit anjing pengesan K9 Putrajaya, polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), RELA dan penduduk kampung.
Dalam kejadian petang Rabu , mangsa ke sungai berkenaan untuk memancing bersama sepuluh rakannya dan berhasrat bermalam di kawasan terbabit untuk beberapa hari.
Bagaimanapun ketika hendak menyeberangi sungai , mangsa dipercayai dihanyutkan arus dan terperangkap dalam pusaran air.
Serentak itu, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Chukai dan Cheneh dengan bantuan RELA dan JPAM serta penduduk kampung menjalankan gerakan mencari dan menyelamat sejak awal pagi semalam.
Mayat mangsa di hantar ke unit forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Jenazah dituntut keluarga mangsa petang Jumaat untuk di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Neram Satu, Kemaman.