Mayat mangsa lemas di Sungai Pahang ditemukan

Azee Shafy
Januari 16, 2023 12:21 MYT
Mangsa dijumpai terapung dan tersangkut pada pohon kayu, dikesan oleh anjing Unit K9 pada pukul 10.44 pagi ini, di sekitar Pulau Kening. - Foto ihsan JBPM Pahang
BERA: Remaja lelaki berusia 19 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Bor, di sini, Sabtu lalu, berjaya ditemukan, hari ini.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa, Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi, dijumpai dalam keadaan terapung pada jarak 900 meter dari lokasi kejadian di Pulau Kening.
"Mangsa dijumpai terapung dan tersangkut pada pohon kayu di kawasan itu, dikesan oleh anjing Unit K9 pada pukul 10.44 pagi, di sekitar Pulau Kening.
"Mangsa dijumpai pada jarak 0.9 kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata, mayat mangsa akan dibawa ke hospital berdekatan, dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
BACA: Lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Pahang
Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga ini dimulakan pada 8.30 pagi dengan penglibatan seramai 13 anggota dari Unit K9, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dan BBP Maran.
Sabtu lalu, Faizal Akmal Fikri yang berasal dari Kampung Bukit Lada Awah, Temerloh, dipercayai mandi di sungai itu bersama lima rakan lain, pada kira-kira pukul 4 petang.
#lemas #Sungai Pahang #Pulau Kening #hilang
;