Mayat mangsa lemas cari kepah ditemui terapung
Dewi Nur Harasha Alias
September 19, 2019 18:13 MYT
September 19, 2019 18:13 MYT
Mayat pemuda yang lemas ketika mencari kepah di pantai Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas petang semalam ditemui jam 11.20 pagi tadi, kira-kira dua batu nautika dari tempat kejadian.
Mangsa, Mohamed Zulfadhli Mohamed Johari, 23, ditemui terapung di perairan Kota Kuala Muda, Kedah sebelum dibawa ke Kuala Muda, Penaga.
Penolong Kanan Penguasa Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Mohd Fauzi Shuib berkata, mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat membabitkan beberapa agensi dengan kerjasama nelayan.
Selain bomba, turut terlibat dalam operasi mencari ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis marin dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
"Alhamdulillah, syukur, lebih kurang jam 11.20 (pagi) dan lebih kurang jarak daripada mayat ditemui lebih kurang dua batu (nautika) tempat yang (mangsa) dipercayai lemas ke arah perairan negeri Kedah," kata Mohd Fauzi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Rabu, mangsa bersama adiknya, Mohamed Zulhusni, 17, dan rakan mereka, Azlan Asri, 13, sedang mencari kepah tidak jauh dari pantai Kuala Muda.
Mereka tiba-tiba hampir lemas kerana ditarik arus menyebabkan mangsa dan adiknya, Mohamed Zulhusni cuba menyelamatkan Azlan.
Bagaimanapun, mereka gagal menarik Azlan berikutan arus laut yang kuat serta air sudah berada di paras leher menyebabkan mangsa lemas tetapi Mohamed Zulhusni sempat naik ke darat.
Azlan pula dibawa arus tetapi sempat diselamatkan nelayan yang menemuinya satu batu nautika dari tempat kejadian.
Menurut Mohamed Zulhusni, dia terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan abangnya kerana kejadian berlaku dengan pantas.
Katanya, arwah juga berkelakuan pelik apabila berkurung dalam rumah sejak seminggu lalu sebelum mengajaknya keluar mencari kepah.
"Semua nak naik sekali, lawan (arus) penat dan tak sempat (selamatkan abang). Mula-mula kami tiga-tiga dekat, lepas dah sampai ke beting, pusing belakang mereka dah tak ada," Mohamed Zulhusni.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat manakala Azlan masih menerima rawatan di hospital sama.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#angkatan pertahanan awam
#Azlan Asri
#Mohamed Zulfadhli Mohamed Johari
#Mohamed Zulhusni
#pantai Kuala Muda