Mayat mangsa kedua tragedi bot bertembung di Kuala Perlis ditemukan

Adie Sufian Zulkefli
Disember 11, 2021 18:14 MYT
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa pertama ditemui. - Gambar/ PDRM
KUALA PERLIS: Mayat kedua mangsa kemalangan bot di Sungai Perlis pada Khamis ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Abdul Rashid Md Derus, 45, ditemui terapung pada jam 3.27 petang tadi.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa pertama ditemui.
“Mayat telah diangkat dan dibawa oleh anggota bomba ke atas darat dengan bantuan nelayan tempatan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
BACA: 2 nelayan dikhuatiri lemas bot bertembung
BACA: Mayat pertama tragedi bot bertembung di Kuala Perlis ditemukan
Jelas Wari, dengan penemuan mangsa kedua itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan serta-merta.
Terdahulu, mayat mangsa pertama iaitu Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi kemalangan, pada jam 7.46 pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10 malam Khamis lalu, dua lelaki dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot lain di Sungai Perlis berhampiran Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis.
#lemas #bot bertembung #Kuala Perlis #operasi sar
;