Mayat mangsa kedua kereta hanyut ditemukan dalam timbunan pasir

Eleanor Michelle Patrick
September 6, 2021 20:00 MYT
Mayat ditemui tertanam di dalam timbunan pasir di kawasan Kampung Dambai iaitu sejauh 800 meter dari lokasi penemuan kenderaan berkenaan.
KOTA KINABALU: Mayat mangsa kedua insiden kereta Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras pada Jumaat lalu, ditemukan dalam timbunan pasir di tebing sungai Kampung Dambai, Jalan Kionsom, Inanam hari ini.
Mangsa, Simon Sange Tupe, 68 tahun, ditemui kira-kira pukul 1.30 petang tadi oleh dua beradik yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi pertama kejadian Perodua Myvi berkenaan dihanyutkan.
Katanya, mayat ditemui tertanam di dalam timbunan pasir di kawasan Kampung Dambai iaitu sejauh 800 meter dari lokasi penemuan kenderaan berkenaan.
BACA: Lelaki ditemukan lemas bersama kereta, seorang lagi masih hilang
“Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk menjalani proses ujian COVID-19 sebelum bedah siasat dijalankan.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 2.20 petang, hari ini.
“Mayat mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kita juga berterima kasih kepada penduduk kampung yang berjaya membantu pasukan pihak berkuasa untuk menemui mangsa,” katanya.
Lelaki lemas bersama kereta ditemukan
#Kereta Myvi hanyut #Simon Sange Tupe #Jalan Kionsom #Sabah
;